Pemolo

Monday, February 20, 2012

REALITI & FANTASI? Yang Mana?

mayangperapu.my


Antara Realiti dan Fantasi, Anwar menawarkan fantasi. Semua pun tahu. Jika masih tidak nampak maka amatlah bodoh rasanya. Kita mahu berpegang kepada apa sebenarnya? Harapan? Apalah guna harapan jika harapan yang diberi hanyalah fantasi yang dipropagandakan. Kulitnya nampak cantik (walaupun tak seberapa) tapi isinya hampas yang tidak akan membawa ke mana selain kehancuran di hujung sana. Ini mainan akhir zaman dalam mewarna dunia untuk kuasa dan kepentingan diri. Ini mainan pemain alam yang mahu menguasai dunia. Doktrin mudahnya adalah “sell your soul to the devil” @ menjual jiwa dan raga (ruh) kepada iblis. Apa itu? Ya, apabila segala nilai kita dikorban dan kita mengiyakan apa saja yang dimahukan oleh sang Iblis, malah kita menghalalkan segalanya dan terbawa-bawa semakin dalam kerana mengejar kuasa yang dijanjikan, kita mahu dilambak segala, harta, wang, nafsu (pelbagai) dan segala yang ada sebagai warna dalam hidup. Dalam kata lain kita telah menghambakan diri kepada dunia dan mengambil dunia ini sebagai matlamat syurga kita. Tetap kita akan cuba menggambarkan diri kita malaikat di dalam syurga itu. Untuk apa? Untuk menipu saja sebenarnya dan membawa lari dari jalan sebenar. Semakin kalut kalau orang yang terperangkap dengan mainan iblis akhir zaman ini mengajak orang lain sama ke dalam bakulnya. Ini amat bahaya! Itulah penyakitnya barangkali. Iblis paksi kuasa dunia ini akan sentiasa meneropong siapa mangsa untuk dijadikan hambanya. Tujuannya tidak lain di akhir zaman soldadu-soldadu ini yang dilempar segala kemewahan, atas ikatan janji sesama ini akan menjadi alat kepada peperangannya menentang kebenaran sebenar. Sudah tentu kebenaran sebenar bukan matlamatnya kerana tugasnya di dunia adalah sememangnya untuk memesong anak-anak adam atas sifat dendamnya dulu. Itu sumpah dan tugasnya ketika Allah SWT menghumban keluar dia daripada syurga dulu lagi. Mainannya cukup halus, tinggi malah segala sendi pemikiran dan arah dunia telah dibalutnya dengan begitu baik dalam satu order agama dunia yang baru, yang teringkaskan sebagai standard “Hak Asasi Manusia”. Dalam kata lain arahnya adalah, manusia sebenarnya patut buat apa saja mengikut nafsu-syahwat masing-masing kerana itu adalah hak-hak individu katanya.

Itu pun lah asalnya dunia dia dulu, sebelum para malaikat dikerah oleh Allah SWT supaya memerangi dan menghapuskan kerosakan yang dibuat bangsanya. Dia saja bayi keturunan bangsa (makhluk) itu yang diselamat dan diangkat pulang. Di syurga dia didik oleh para maialikat sehingga menjadi abid yang paling berpengaruh dan mempunya darjat yang paling tinggi di kalangan para malaikat. Anak muridnya ramai, doanya makbul. Semua yang bertemunya didoakan tapi dek kerana ujub mungkin, dirinya tidak mendoakan dirinya sendiri. Dia tetap benar katanya, sehingga riak dan takburnya menderhakai perintah Allah SWT. Maka tuhan semesta alam telah memberikan tugas baru kepadanya bersekali semasa dihumbanNya Iblis keluar dari syurga. Itu pun sumpah dan janjinya. Tugasnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memesongkan anak-cucu Adam daripada menuju jalan pulang. Amat halus mainannya. Kepada yang memang jelas sesat, dia hanya perlu mengekalkan darjah lagho, kepada yang beragama, caranya pula lain dan kepada musush-musuh ketatnya umat Muhammad sudah tentu caranya lain. Dia perlu menerobos ke dalam umat Muhammad SAW. Dia perlu kelihatan sama.

Sejak 1998-1999 sebelum reformasi lagi mayang telah ingatkan siapa sebenarnya yang kita berdepan ini. Orang ini bukan asing kalau di sini. Di rumah mayang pada kenduri mayang dulu, 2 kali bertambah nasi, sedap katanya. Isterinya hingga menjejak ke bilik ketika mayang dan isteri berehat. Semua orang melihatnya hebat. Yang pelik hati mayang sejak dulu tidak tertawan dengannya. Ada sesuatu di sebalik senyum simpul, bahasa nan indah dan lengguk sengaunya yang begitu mewas-waskan mayang. Dan memang tak salah terjahan mayang apabila mayang ketika itu lagi telah meneliti caranya, bila diteropong rupanya di sebalik jubah malaikatnya itu, di dalamnya pelbagai budaya baru diterap yang bakal meruntuhkan anak bangsanya sendiri. Yang jelas dan ringkas elok saja mayang sebut “Anwarisme”. Anwarisme berkonsepkan, “Dengan duit apa saja boleh dibeli, waima emak engkau sekali pun”. Sebab itu siapa yang dekat dan rapat dengannya akan sudah tentu kaya dan berharta lalu menjadi penyembah. Mayang tidak sebegitu dan tidak rela, maka bersebab mungkin mayang tidaklah berharta dan kaya. Telah lama mayang cuba membayangkan kepada semua. Namun pada mayang, Alhamdulillah, Allah maha kaya dan adil, mungkin juga berkat solat hajat yang digerakkan oleh saudara-saudara mayang yang tidak sedar dan solatnya itu yang pada pada asalnya untuk tujuan lain, namun Allah yang Maha Mengetahui telah merungkaikan dalam tandaan-tandaan yang berbeza dari kehendak mereka. Kebenaran dibuka selapis demi selapis . Hanya orang yang mencari kebenaran akan dapat melihat dengan lebih jelas siapakah dia? Bersekali dengan itu Allah SWT juga telah dengan jelas memberi tandaan lain kepada manusia manusia lain yang berbalut jubah itu, malah dari kelompok yang begitu teruja bersolat hajat sendiri. Kelihatannya pelbagai tandaan itu berpatah balik. Allah SWT telah memberikan gambaran dan kehebatan Allah SWT juga telah dibentang kepada kita. Sebab itu mayang kata, amatlah bodoh jika kita berterusan melurut benang basah supaya terus tegak dan berdiri. Sedangkan realitinya berbeza.

Sebab itu mayang syorkan berpeganglah kepada realiti. Walaupun tidak sempurna, walaupun bunyinya tidak manis dan menawan tetapi itulah realiti. Memang tidak sempurna manusia ini apabila berkuasa lama. Kelompok besar didalamnya punya pecahan-pecahan kecil. Pecahan-pecahan kecil ini memang ada yang terpesong kerana namanya pun manusia yang kalah mungkin dengan nafsu sendiri. Selama lebih 50 tahun ini memang ada lompong di sana-sini tetapi tidaklah sehingga cacat dari segi matlamatnya yang besar. Yang membuat dosa itu, biarlah Allah SWT sahaja yang menimbangkannya. Namun secara umum, nikmat secara lahiriah telah pun kita dapat dan kecap. Cumanya manusia ini atas sifat insan selalu lupa dan terlupa untuk bersyukur, harapannya tinggi kemahuannya luas khususnya dalam segala sudut fantasi. Maka jadilah kita insan yang terlupa untuk bersyukur dan temakan dengan dongengan dan propaganda kerana apa yang ditawarkan itu bunyinya seolah syurga dunia. Bunyinya saja.

Maka sukalah mayang di sini menyambut seruan Najib. Najib menawarkan satu realiti. Mungkin pada sesetengah tidaklah sebegitu wangi dan cantik, tidaklah merdu. Namun dia telah berusaha memurnikan sesuatu secara fakta dan berkala. Malah boleh dipegang dari sudut asas makro dan matlamat keseluruhannya. Yang lebih murninya dia menawarkan kesederhanaan yang tidak semborono membazir untuk ke hadapan dengan matlamatnya nanti adalah untuk anak cucu-cicit kita terus menimba nikmat seperti mana apa yang kita telah rasa di bumi bertuah ini sehingga ke hari ini. Janganlah kita menjadi insan yang kufur nikmat, tidak bersyukur, tamakkan lebih yang akhirannya bala’ pula yang Allah SWT hantar kepada kita. Allah SWT melalui sirah Rasulullah SAW telah memberikan pelbagai tandaannya melalui Al-Quran dan Sunnah untuk kita kaji dan kutip.

Kita harus sedar yang kita kini berada di hujung-hujung tanduk umur dunia yang Rasulullah SAW semasa Israk-Mi’raj digambarkan dunia ini sebagai seorang perempuan yang amat tua umurnya (kenapa perempuan?). Mainannya umur tua dunia hari ini adalah begitu halus oleh sang Iblis dengan segala peralatannya yang ada yang kini begitu canggih, termasuk manusia-manusia yang tanpa sedar telah terperangkap menjadi hamba dia. Segalanya telah bercampur dan telah dibalut dengan begitu cantik sebagai julap untuk disuapkan kepada kita. Malah terselit didalamnya yang diluarnya berbalut agama kita sendiri. Dan kita pula begitu terpesona dengan kulit jubah islam itu. Ini yang paling dan teramat merbahaya. Memang pun ada. Kita juga boleh tergadai sama. Na’uzubillah.