mayangperapu.my
Menjelang Perhimpunan Umat Melayu;
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Dengan nama Mu Ya Allah, Maha Suci Engkau. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, kami memohon ampun serta bertaubat kepada-Mu. Segala puji-pujian bagi Mu dan tiada kekuatan melainkan dengan-Nya, dan salam sejahtera ke atas Nabi Allah Muhammad S.A.W.
Ya Allah, bukalah untuk kami pintu-pintu rahmat-Mu, masukkanlah kami ke dalam urusan agama kami dengan kemasukan yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolong kami, dan kurniakanlah kami rahmat dari sisi Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami, sesungguhnya Engkau Maha Luas kurnia-Nya. Ya Allah lindungilah kami dari sebelah atas daripada disambar, dari sebelah bawah kami daripada ditenggelamkan dan dari kanan dan kiri kami daripada syaitan yang direjam.
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya akan tetap kami mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan kami. Sesungguhnya kami bertaubat kepada Mu, dan sesungguhnya kami daripada orang-orang Islam (yang tunduk dan patuh kepada Mu)
Ya Allah sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut, nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah berikanlah ketaqwaan kepada kami dan sucikanlah ia, kerana Engkaulah sebaik-baik Tuhan yang menyucikan, Engkau pelindung dan memeliharanya. Ya Allah kami meomohon perlindungan Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak puas dan doa yang tidak dikabul.
Ya Allah, perbaikkanlah hati-hati kami dalam kebaikan, dan perelokkanlah hubungan antara kami, dan tunjukkan kami jalan-jalan ke syurga-Mu, dan selamatkanlah kami daripada kegelapan kepada Nur-Mu, dan jauhilah kami daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan fitnah sama ada yang zahir atau tersembunyi. Berkatilah kami pada pendengaran kami, penglihatan kami, pasangan-pasangan kami dan zuriat-zuriat kami. Terimalah taubat kami sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat, dan jadikanlah kami mensyukuri nikmat-nikmat Mu, memuji-Mu dengannya, menerimanya. Sempurnakanlah ia ke atas kami.
Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.
Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Kami mohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal!.
Ya Allah kami menghadapi hari ini dengan bersaksi terhadap-Mu, dan terhadap para malaikat pemikul Arasy, dan para malaikat-Mu dan setiap makhluk-Mu, bahawa Engkau merupakan Ilah yang benar dan Nabi Muhammad ialah hamba-Mu dan utusan-Mu.
Ya Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu iman yang tidak akan lepas (murtad) nikmat yang tidak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad S.A.W di syurga yang paling tinggi selama-lamanya. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad S.A.W serta para-para sahabat baginda.
Maha Suci Engkau, ya Allah, dan kami mengucapkan segala puji-pujian kepada-Mu. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, kami memohon ampun serta bertaubat kepada-Mu, Ya Allah.
Ameen.