Pemolo

Wednesday, November 19, 2008

Kasihan Dato' Abdullah










1. Kasihan Dato' Abdullah. Selepas pengumuman peralihan kuasa yang dipercepatkan kepada Dato' Najib, beliau kini seolah tiada begitu bernilai. Seorang Perdana Menteri yang dipandang sepi.
Ini tidak pernah berlaku kepada Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelumnya. Entahlah apa yang akan diingati oleh rakyat Malaysia kepada Dato' Abdullah selepas hilang kuasa beliau nanti.

2. Kasihan dia kerana dia ditakdirkan Allah SWT untuk berbakti, menjadi Perdana Menteri untuk memimpin. Sudah barang tentu niat dia adalah untuk membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat jelata. Malangnya persepsi yang wujud selepas sepenggal lebih pemerintahannya lebih tepat disebut cemuhan dan kekecewaan rakyat. Sebab itu beliau dipandang sepi.

3. Agak baik kerana Dato' Najib adalah seorang yang berhemah dan sabar. Tidak menunjukkan tanda-tanda lapar, tamak dan tiada hormat. Beliau masih low-profile dan memberi ruang kepada Dato' Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

4. Apa yang berlaku kepada Dato' Abdullah tidak dijangkanya. Beliau mungkin terlepas pandang kepada banyak lompong-lompong yang ditinggalkannya. Beliau melihatnya simple, lompong-lompong yang ada dijangkanya akan dibawa angin waktu dan akan kembali kepada asal. Lompong-lompong ini tidak bertampung. Lompong kecil-kecil lain pula yang ditampung. Lompong-lompong asal dibiar terdedah sehingga masuk angin dan kembung.

5. Selepas ini kita akan melihat kelibat-kelibat hulubalang menteri yang menghentak Mahathir dulu. Akan berlakukah yang sama kepada Dato' Abdullah. Semasa Dato' Abdullah menjadi Perdana Menteri mereka inilah yang sepatutnya menjadi hulu-balang tetapi tidak pun berbuat sedemikian kecuali menjadi benteng kerana sebab kepentingan jawatan. Sebaliknya memberi indikator yang salah kepada Abdullah. Mereka telah tidak berperanan seperti sepatutnya, yang sepatutnya juga menampung lompong-lompong yang ada. Mereka ini dedalu. Hari ini backing Abdullah, esok kononnya mendesak, itupun kerana sudah tidak boleh bertahan akan reaksi rakyat, lusa merekalah juga yang akan mengkritik Dato' Abdullah nanti. Sedangkan sebenarnya bukan salah Abdullah seorang. Mereka juga patut berkongsi kek mundurnya Dato' Abdullah.

6. Khairy Jamaluddin adalah seorang anak-muda yang pintar. Punya potensi besar. Tetapi Khairy Jamaluddin jugalah yang menjadi trauma Dato' Abdullah sebenarnya. Mustahil Dato' Abdullah tidak tahu. Lompong asal ini tidak ditutup kemas oleh Dato' Abdullah. Khairy juga adalah pemain politik yang menghambat kedudukan dan kuasa. Dalam masa yang sama membina kekayaan melalui pengaruh dan membina pengaruh melalui kekayaan. Dato' Abdullah disandarnya. Ini telah dikutip oleh musuh-musuh tradisi UMNO. Bapak-bapak Menteri lain pula seolah membiarkan ini berlaku kerana mereka juga dapat tumpang sekaki. Apatah Khairy ini adalah menantu kepada Perdana Menteri, bos mereka. Sayang dia, sayanglah Perdana Menteri kepada mereka. Daripada berlawan arus lebih baik ikut saja, kongsi. Tumpang semasa boleh.

7. Kewujudan Khairy Jamaluddin pada gear laju ketika mertuanya menjadi Perdana Menteri itulah yang tidak kena. Dato' Abdullah sepatutnya telah merehatkan dulu menantunya. Gambaran Khairy tidak boleh menjadi Figura Utama dalam mebayangi zaman mertuanya. Kelibatnya harus datang selepas itu. Lagi pula pengaruhnya hingga ke dalam pejabat PM dan Kewangan; 2 portfolio utama Dato' Abdullah telah begitu tersebar hingga menjadi "cerita rakyat". Jumlah nilai kewangan yang disebut-sebut pula bukan ratus, ribu, juta tetapi ratusan billion. Lompong ini secara ceriteranya semakin membesar, kembung dan membelon. Meletop! pada pilihanraya ke-12 Mac 2008 lalu dibawa oleh raja-raja pembangkang. Daripada situ pula barulah yang lain berekor. Kicap ditambah lagi dengan terlepasnya Primadona Pentas dari kandang, pun berlaku pada masa Dato' Abdullah. Khairy adalah orang pertama yang menyambutnya. Entah untuk tujuan apa? Atau untuk menumpang apa? Mungkin ada strategi tertentu atau mungkin sesuatu yang paling tersalah langkah yang pernah dibuat oleh Dato' Abdullah. Mungkin juga atas satu "nasihat" strategi yang diikutinya.??? Jika itu satu strategi maka saya katakan itulah suatu risiko paling bodoh yang dibuat.

8. Dato' Najib sebenarnya tidak begitu selesa. Berbanding dengan penyerahan kuasa yang dibuat sebelum-sebelumnya oleh Presiden, beliau pula mewarisi sesuatu yang rosak tidak seperti yang elok-elok diterima oleh waris-waris sebelumnya. Apatah pula Primadona Pentas yang terlepas kandang itu pula memang menyasarkan beliau dari mula lagi. Harapannya dalam bersahaja dan tampak tenang di luar, di dalamnya diharapkan beliau mempunyai trouble-shoot yang tepat dan mempunyai strategi-strategi yang juga tepat.

9. Hari ini Dato' Abdullah semasa dalam lawatan di Uzbekistan menyatakan kesediannya untuk membantu menyelesaikan masalah Wanita UMNO. Entah di mana masalahnya, kita pun tidak tahu. Takut kerosakan katanya, ketika UMNO bergolak. Penyelesaiannya sepatutnya simple. Ikut kehendak ramai ahli kerana kuasa pemimpin sebenarnya adalah suara ahli-ramai yang di bawah. Tetapi apa pun sebagai masih Presiden beliau memberi gambaran akan membantu. Harapannya supaya tidaklah berlaku kerosakan lagi walau pada hematnya sendiri nanti adalah suatu penyelesaian.

10. Apa pun pendapat saya; Tan Sri Rafidah Aziz atas sifat dan jiwa sebagai pemimpin dapat melihat bahawa maruahnya tidak tercalar dengan pencalonan kepadanya yang sebegitu, melebihi Dato' Shahrizat. Sekiranya beliau berundur dan memberi laluan kepada Shahrizat akan membayangkan bahawa beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang matang dan tidak berkepentingan. Malahan Wanita akan terus menghormati beliau. Beliau sendiri telah memaklum bahawa beliau akan melepas jawatan, penggantinya juga disebut Shahrizat bukan orang lain. Lagi pula tidak ada apa yang nak dirugikan berbanding tempoh lama beliau menerajui tanggungjawab kepada sayap wanita dan telah banyak nikmat dan faedah yang diperolehinya dalam tempoh itu. Apa pun beliau masih lagi diperlukan tetapi tidak semestinya pada kerusi Ketua Wanita.

- Lihat apa Presiden hendak buat.

1 comment:

  1. itu le kawan. Dua batang nisan bukan penada kematian tapi satu jasa yang dikenang itu merupakan penanda kematian yang unggul......kita akan caci orang itu bia dia ada tetapi bila dia tiada kita akan mengeluh ...

    ReplyDelete