Pemolo

Tuesday, June 5, 2012

MALAYSIA DAN PERLEMBAGAAN NEGARA

mayangperapu.my


Sebahagian kecil penulisan rakan mayang yang dicatatkan di dalam bab
POLITIK MALAYSIA DAN KAKITANGAN PERKHIDMATAN AWAM.


MALAYSIA DAN PERLEMBAGAAN NEGARA

1. Malaysia adalah sebuah negara unik, bilamana ia bukan sahaja mengamalkan demokrasi berparlimen malah sistemnya adalah berlandaskan Raja Berperlembagaan. Ini bermakna Malaysia mengadaptasikan sistem Parlimen ber-Raja. 


2. Sejarahnya begitu, asalnya, sebelum kedatangan penjajah lagi, Tanah Melayu ini ada tuannya, dipertuan oleh rakyat melayunya, ada Rajanya. Rakyat asalnya sendiri yang mendaulatkan rajanya sebermula “Magna Carta” di Bukit Siguntang dan melunjur salasilahnya ke Tanah Melayu. Itu sejarah, Suruhanjaya Reid memahaminya, ada “Bangsa” di situ pada terasnya, di dalam induknya, maka atas kefahaman dan perakuan itu, Suruhanjaya Reid tidak membuangnya malah hakikat itu diambilkira, ia diperlembagakan. 

3. Perlembagaan Malaysia berasaskan kepada dua dokumen penting iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957 yang sebelumnya kajian dibuat pada tahun 1956 oleh Suruhanjaya Reid. Ia telah menukilkan segalanya, sistemnya sebegitu dengan mengambil kira pelbagai sudut kepentingan dan keadilan sosial, untuk pelbagai pihak, sudut hak asal, pra-syarat sebelum dan, selepasnya tanah air ini dibahterakan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.


RAJA MELAYU, KAKITANGAN AWAM DAN KERAJAAN MALAYSIA


1. Pekerja-pekerja bagi melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dikenali sebagai Kakitangan-kakitangan Perkhidmatan Awam, ianya dilindungi, begitu juga kepentingan yang berkait dengan pengembangan pendidikan khususnya kuota pembelajaran, biasiswa, juga perniagaan melalui permit yang di bawah tanggungjawab kerajaan. 

2. Pelindungnya yang memayunginya adalah Raja-Raja Melayu. Sebagai pelindung, hal-hal keselamatan negara bagi menjaga kedaulatannya juga terletak dibawah kuasa Raja seperti pasukan polis dan tentera yang merupakan sebahagian jaminan keselamatan oleh Raja Melayu kepada rakyatnya. 

3. Memang benar, tidak kesemua negeri di Malaysia ber-Raja. Namun Malaysia mempunyai Majlis Raja-Rajanya yang secara rotasi Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terpilih di antara Sembilan Raja-Raja Melayu dari negeri-negeri ber-Raja Melayu ini. Ini bermakna negara Malaysia juga mempunyai Raja Melayunya dan negeri-negeri yang terletak di bawah Persekutuan ini yang tidak ber-Raja juga berada dibawah pemerintahan dan kuasa Raja Malaysia, iaitu DYMM Sri Paduka Baginda YDP Agong. Pesuruhjaya-pesuruhjaya yang dilantik baginda sebagai wakil Tuanku bagi negeri-negeri tidak bersultan ini pula dikenali sebagai Yang di-Pertua Negeri ( Gabenor ). Ini bermakna mereka adalah wakil kepada Raja Melayu ( DYMM Agong ). 



4. Untuk hal-hal ini, melayu mendapat keistimewaan khusus di bawah kuasa Raja Melayu. Begitu juga hal agama orang-orang Melayu iaitu Islam bilamana bagi setiap negeri di Malaysia wakil-wakil bagi pihak baginda sebagai ketua agama islam, dilantik DYMM Sultan dan bagi negeri tidak ber-Raja dilantik oleh DYMM Seri Paduka YDP Agong yang dikenali sebagai mufti-mufti negeri. Begitu pula hal tanah dan air dalam wilayah Malaysia, kanun hak miliknya berada di bawah kuasa Raja Melayu ini. 


5. Hakikat inilah yang dikenali sebagai “Keistimewaan Melayu” atau dalam kata lain adalah “Keistimewaan Bangsa Teras ( Asal )” atau yang sering disebut “Ketuanan Melayu”, yang sebenarnya adalah manifestasi bagi melambangkan kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu itu. Hak tentang keistimewaan ini dikitabkan sebagai Kontrak Sosial di dalam Perlembagaan Negara yang menjadi asas perundangan tertinggi negara Malaysia dan ianya tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana atau sesiapapun yang berakyatkan Malaysia ataupun negara-negara lain atas resminya negara merdeka dan berdaulat.


6. Semenjak merdeka malah sebelumnya lagi, iaitu semasa pasca-kemerdekaan, amalan demokrasi telah dipraktikkan di Tanah Melayu melalui pilihanraya-pilihanraya umum. Sebermula tahun 1955 dan seterusnya dalam fasa-fasa empat-lima tahunan selepas itu, Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia telah melalui siri-siri pilihanraya umumnya. Keputusan pilihanraya umum 1955 yang diuji penjajah sebagai pra-syarat kemerdekaan, menyaksikan kemenangan besar kepada Parti Perikatan yang didokongi UMNO dan rakan-rakan komponennya. Seterusnya sehingga selepas itu, siri-siri pilihanraya umum telah menyaksikan bahawa Parti Perikatan yang kemudiannya dinamakan Barisan Nasional telah memperolehi kemenangan dan menjadi peneraju kerajaan Malaysia atau dalam kata lain adalah sebagai penggerak jentera kerajaan bagi pihak Rajanya; yang merancang, membentuk dan melaksana segala bentuk aktiviti dengan matlamat membina kesejahteraan untuk rakyat Malaysia. 



7. Tiada suatu masa pun sepanjang tempoh itu sehingga kini, kerajaan Malaysia adalah bukan parti Barisan Nasional. 

8. Barisan Nasional telah memenangi setiap pilihanraya yang pernah diadakan. Ini bermakna kewujudan negara dan segala nikmat yang dikecapi oleh rakyat, segala transformasi daripada sebuah negara miskin hingga kepada pembangunan, nikmat dan segala kemakmuran yang ada pada hari ini, kerajaan yang membawanya adalah kerajaan Barisan Nasional, malah perkaitan sehingga terbentuknya perlembagaan negara dengan hak yang ada pada Raja Melayu sehinggakan ternukil “Wasiat Raja-Raja Melayu” untuk melindungi hak keistimewaan orang-orang melayu dan bumiputera serta lain-lain warga rakyat ke dalam asas perundangan tertinggi negara iaitu Perlembagaannya juga telah dijayakan dengan begitu istimewa sekali oleh khususnya peneraju yang membentuk Pakatan Barisan Nasional itu iaitu UMNO ( diiringi bersama oleh rakan-rakan komponen yang berjaya dibentuknya ). UMNO lah yang mengapit Suruhanjaya Reid dalam hal-hal keistimewaan Raja-Raja Melayu dan hak-hak bangsa asal Tanah Melayu dan agamanya sehingga terbela dan terbentuk ke dalam Perlembagaan Negara.


9. Maka sebenarnya kewujudan negara ini adalah begitu sinonim sekali dan tidak dapat lari daripada usaha jerih-perih penyatuan orang-orang melayu yang pada fasa terunggulnya menggagalkan Malayan Union, dipimpin UMNO, sehingga hak melayu itu terbela dan diperlembagakan, juga oleh UMNO. Susur-galur dan keakraban keduanya “UMNO” dan “Tanah Melayu yang merdeka” itu sendiri sebenarnya tidak dapat dipisahkan dalam pembentukan sejarah pembentukan negara ini. 




10. Barisan Nasional itu sendiri pula adalah lambang toleransi dan penerimaan yang begitu tinggi kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini. Barisan Nasional itulah interpretasi Malaysia yang sebenarnya yang ada pada hari ini.

11. Rentetan sejarah berkerajaannya daripada negara mencapai kemerdekaan hingga kini, Barisan Nasional itulah kerajaan. Barangkali ada yang lupa di kalangan kakitangan-kakitangan kerajaan bahawa apabila dikatakan bekerja dengan kerajaan, sebagai anggota perkhidmatan awam kerajaan, sebenarnya kerajaan Malaysia itu adalah kerajaan Barisan Nasional. 
RAMAI YANG LUPA.

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...



No comments:

Post a Comment